Saturday, 14 April 2018

Perhimpunan Hari Kokurikulum: Kepentingan Menyertai Aktiviti Kokurikulum


Aktiviti kokurikulum merupakan satu aktiviti wajib di setiap sekolah. Para pelajar wajib menyertai aktiviti yang dijalankan, seperti menyertai persatuan, unit beruniform, ataupun sukan dan permainan. Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mahu para pelajar hanya menumpukan kepada pelajaran sehingga mengabaikan aktiviti kokurikulum.


Melalui aktiviti ini, tubuh badan akan menjadi sihat. Keadaan ini berlaku kerana apabila kita melakukan sesuatu aktiviti, otot-otot akan bergerak dengan aktif, seterusnya mengeluarkan peluh. Apabila diri kita sihat, mudahlah kita untuk mengulang kaji pelajaran dan menghadiri aktiviti di sekolah. Jika tubuh badan kita tidak sihat, tubuh menjadi letih serta lesu dan tidak bermaya, menyebabkan minat untuk belajar menjadi luntur.


Faedah kedua yang kita peroleh dengan menyertai aktiviti kokurikulum adalah, pelajar dapat memanfaatkan masa lapang mereka dengan bijak. Sekiranya tidak menyertai aktiviti kokurikulum, masa yang terluang pasti akan digunakan dengan menonton televisyen, melepak, merokok, dan berpelesiran di pusat membeli belah seperti kutu rayau. Aktiviti tidak berfaedah ini juga bakal menjerumuskan mereka ke kancah perjudian, pelacuran malahan juga ke kancah jenayah. Mereka juga bakal terdorong untuk bergaul dengan remaja nakal dan terlibat dalam pelbagai kegiatan negatif seperti merempit, meragut, menagih dan mengedar dadah dan banyak lagi.


Apabila menyertai aktiviti kokurikulum, secara tidak langsung kita juga boleh menambah kenalan. Penyertaan dalam persatuan mahupun aktiviti sukan tidak mengira dari kelas mana ataupun warna kulit. Jadi, menerusi aktiviti yang dijalankan, kita dapat berbincang dan saling mengenali, sekali gus mewujudkan perpaduan antara satu dengan yang lain kerana muafakat membawa berkat.



Adat sesuatu pertandingan, ada menang dan ada yang kalah. Apabila pasukan yang kita sertai memenangi kejohanan yang kita sertai nama sekolah akan menjadi harum. Pada peringkat sekolah, kita sudah berjaya mengharumkan nama sekolah, apabila dewasa, tidak mustahil kita juga boleh mengharumkan nama negara.


Berdasarkan huraian yang diberikan, jelaslah kepada kita akan kepentingan aktiviti kokurikulum kepada kita. Oleh itu, saya menyarankan kepada semua pelajar, manfaatkanlah masa yang terluang dengan menyertai aktiviti kokurikulum. Apalah gunanya mempunyai otak yang pintar sekiranya tubuh badan tidak bermaya.

15 April 2018

No comments:

Post a Comment

Taklimat AI Dalam Usaha Rendah Karbon

                                       Taklimat AI Dalam Usaha Rendah Karbon   Tarikh : 3 April 2024 Tempat : SJKC Bin Chong Taklimat ini di...